Thursday, May 24, 2018
vital-top
updated 1:31 PM UTC, May 24, 2018

Mendiang Sridevi Rangkul Anugerah Pelakon Wanita Terbaik India

  • Published in Hiburan
Foto - AFP

NEW DELHI - Bintang handalan India, mendiang Sridevi Kapoor, telah merangkul anugerah pelakon wanita terbaik tahun ini untuk lakonan hebat beliau menerusi filem terakhirnya, Mom, cerita ngeri yang berkisar tentang pembalasan dendam, lapor agensi berita China Xinhua.

Anugerah Filem Kebangsaan India yang berprestij itu disampaikan oleh Presiden Ram Nath Kovind di ibu negara pada malam Khamis.

Suami mendiang, produser filem Boney Kapoor dan dua anak perempuannya menerima anugerah itu bagi pihak Sridevi, yang meninggal dunia di sebuah hotel di Dubai pada Februari lepas pada usia 54 tahun.

Dalam filem Mom, Sridevi memegang watak sebagai seorang guru dan ibu yang tekad menuntut bela selepas anak tirinya dirogol oleh beberapa lelaki, termasuk seorang rakan beliau.

Kematian mengejut pelakon legenda itu di sebuah hotel mewah di Dubai semasa mendiang menghadiri majlis perkahwinan keluarga amat memeranjatkan industri perfileman India.

Laporan awal mendakwa mendiang meninggal dunia akibat serangan jantung, bagaimanapun, polis Dubai kemudian menjelaskan bahawa kematiannya adalah "disebabkan insiden lemas yang tidak disengajakan selepas pengsan."

Sridevi membuat penampilan sulung sebagai pelakon kanak-kanak melalui filem Tamil berjudul Kandan Karunai 1967 pada usia empat tahun. 

Sepanjang 50 tahun kerjaya lakonannya, beliau turut membintangi filem-filem India selatan selain Bollywood.

Sridevi berada dalam senarai antara pelakon berpendapatan paling tinggi pada 1980-an dan 1990-an serta dianggap sebagai bintang handalan wanita pertama di pawagam India.

((BERNAMA))