Sunday, April 22, 2018
vital-top
updated 2:12 PM UTC, Apr 22, 2018

Dukun, Tinggal Pengalaman Ngeri Buat Umie Aida

  • Published in Hiburan
Foto - Instgram DS Umie Aida

KUALA LUMPUR - Penggambaran filem ‘Dukun’ di Penjara Pudu meninggalkan pengalaman mengerikan buat pelakon utamanya, Datin Seri Umie Aida apabila beliau hampir histeria ketika berada dalam sel tahanan.

"Ketika di bilik tahanan yang terakhir, saya cuma pandang dan persoalkan bagaimana keadaan banduan berada di bilik ini dan tiba-tiba badan saya terus menggigil dan mungkin akan histeria jika saya sendiri tidak kuatkan semangat dengan berzikir.

Datin Seri Umie Aida yang membawa watak Diana Dahlan, seorang dukun, mengakui banyak cabaran dilaluinya sepanjang penggambaran filem itu 12 tahun yang lepas, antaranya terpaksa berkawan dengan ular bagi menjiwai dan memperoleh ciri-ciri yang perlu dibawa melalui wataknya.

Filem Dukun yang akan ditayang di seluruh negara dan Singapura mulai esok turut membariskan beberapa pelakon hebat antaranya Faizal Hussein, Namron, Bront Palarae, Sofi Jikan dan Elyana 

Filem berdurasi sejam 45 minit itu memaparkan kisah ketaksuban manusia yang begitu mendambakan kemewahan, kecantikan, kerakusan dalam mendapatkan kuasa menerusi amalan syirik dan khurafat.

Pengarahnya, Dain Said mengharapkan tayangan filem itu dapat membuka mata masyarakat dan memberi kesedaran terhadap kecelaruan dalam hidup jika amalan khurafat dan syirik diamalkan.

Beliau turut menafikan dakwaan yang mengatakan Dukun adalah sebuah filem diadaptasi daripada kisah benar.

Beliau berkata filem itu perlu ditonton di layar perak untuk mendapat kesan yang hebat daripada proses’re-master digital' bagi menghasilkan bunyi, warna dan visual yang terbaik.

Treler promosi Dukun mula disiarkan selepas mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) pada 23 Mac lepas, dan filem ini pasti membangkitkan rasa teruja terutama bagi peminat filem tempatan dan penggemar genre thriller mistik. 

Pernah diharamkan untuk tayangan umum pada 2007 kerana dikatakan menyentuh sensitiviti sesetengah pihak, akhirnya LPF memberi kelulusan kepada karya itu untuk dipertontonkan selepas 11 tahun ‘disimpan’.

((BERNAMA))