Sunday, April 22, 2018
vital-top
updated 2:12 PM UTC, Apr 22, 2018

'Pasti Kau Milikku' Pretty Ugly Penuh Elemen Kemelayuan

  • Published in Hiburan

KUALA LUMPUR - Kumpulan Pretty Ugly, yang telah sekian lama menyepi,  tampil dengan single terbaharu berjudul 'Pasti Kau Milikku' yang mengandungi elemen kemelayuan.

Vokalis  utama kumpulan itu, Neves atau nama sebenarnya Raizan Zainal Abidin berkata berkata  single terbaharu itu adalah hasil kerjasama  dengan pencipta lirik terkenal Azam Dungun.

“Ini adalah eksperimen pertama kami menggabungkan  susunan muzik moden dan tradisional, dan kami harap lagu ini diterima ramai,” katanya kepada Bernama.

“Saya pertaruh lagu ini kerana lagu ini adalah eksperimen pertama saya untuk mencipta lagu yang betul-betul mempunyai elemen muzik Melayu diubah (menjadi) lebih moden,” katanya.

Neves berkata single yang dilancarkan bulan lepas diterbitkan oleh Cdbagasi Music itu mengenai  ketabahan seorang lelaki terhadap cinta tidak berbalas yang akhirnya diterima. 

“Beza dengan lagu Diari Seorang Lelaki ialah muzik berbeza. Melodi lagu ni lebih kepada berbau  Melayu, cuma susunan muzik kami modenkan. Diari Seorang Lelaki ialah genre acid jazz, Pasti Kau Milikku  bergenre moden rock,” katanya 

Kumpulan itu yang turut dianggotai Mohammad Raziz Zainal Abidin (Jay/ gitar utama), Nik Muhammad Histami Nik Mohammad Din (Neti ‘O’/ dram) dan Ikhwan Ajwad Rawyani (Juad/ bass) lebih senang  menyajikan  lagu yang menjadi permintaan peminat masa kini, katanya.

Beliau berkata lagu terbaharu ini turut dimuat naik dalam YouTube, dan bagi peminat, mereka boleh  melayari  laman sesawang Facebook Pretty Ugly/ band atau Facebook dan Instagram  peribadinya  nevespugly  untuk mengikuti perkembangan mereka.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1997 dengan nama Seven itu menukar nama kepada Pretty Ugly selepas menandatangani kontrak dengan KRU Records bagi mengelak menumpang kemashyuran Sheila On 7 dari Indonesia yang sedang popular pada masa itu.

((BERNAMA))