Sunday, April 22, 2018
vital-top
updated 2:12 PM UTC, Apr 22, 2018

Penyanyi 'Jai Ho', Tanvi Sedia Nyanyi Lagu Melayu

  • Published in Hiburan
Foto - IG Tanvi

KUALA LUMPUR - Artis rakaman antarabangsa Tanvi Shah tidak menolak kemungkinan menyanyikan lagu Melayu sekiranya berpeluang berbuat demikian.

Tanvi, yang telah menyanyikan lagu dalam 15 bahasa termasuk Tamil, Hindi, Telugu, Sepanyol, Arab, Portugis dan Latin berkata, beliau terfikir untuk menyanyikan beberapa lagu tempatan apabila datang ke Malaysia.

Wanita India pertama yang memenangi Anugerah Grammy untuk ‘Best Song Written for Motion Picture or Other Visual Media’ untuk lagi ‘Jai Ho’ daripada filem ‘Slumdog Millionaire’, juga membayangkan bahawa beliau akan kembali ke Malaysia tidak lama lagi untuk bekerjasama dengan artis tempatan.

“Diharapkan saya akan datang lagi ke sini dan bekerjasama dengan beberapa artis tempatan. Saya berharap orang ramai akan sukakannya,” kata penyanyi berusia 32 tahun itu.

Berkongsi pengalamannya bekerja dengan maestro muzik A.R. Rahman, Tanvi berkata bekerja dengan pemenang anugerah Oscar itu adalah satu pengalaman yang menakjubkan kerana beliau bukan sahaja belajar tentang muzik tetapi juga mengenai modulasi suaranya setiap kali semasa rakaman.

Penyanyi lagu ‘Fanaa’ untuk filem Bollywood ‘Yuva’ itu juga berkata memenangi Anugerah Grammy pada 2010 ibarat mimpi buatnya.

Tanvi yang turut menerima anugerah ‘First Ladies’, sebuah acara yang diterajui oleh Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak India Maneka Ghandi berkata beliau mempunyai sebuah kumpulan bernama ‘Tansha’.

Selain muzik, Tanvi juga terlibat secara aktif dalam kerja-kerja di Institut Kanser dan membantu kempen ‘End Polio’ oleh Rotary International.

Malah, beliau telah menyumbangkan lagunya ‘Zindagi’ yang dihasilkan oleh JHawk, untuk album kempen End Polio itu yang menampilkan artis-artis antarabangsa seperti Itzhak Perlman, David Sanborn dan Ziggy Marley.

((BERNAMA))