Saturday, June 23, 2018
vital-top
updated 11:34 AM UTC, Jun 23, 2018

Kilafairy Mahu Lebar Sayap Ke Luar Negara

  • Published in Hiburan
Foto - IG Kilafairy

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon tempatan, Kilafairy yang berpeluang  berkolaborasi bersama penyanyi terkenal antarabangsa, Sean Kingston menerusi lagu  ‘Put The Word In’ berharap dapat memanfaatkan peluang tersebut  untuk mengembangkan sayap kerjayanya ke luar negara. 

Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 25, berkata singlenya dirakamkan pada Jun tahun lalu, yang berkisar tentang percintaan mencatat lebih 750,00 penonton sejak dimuat naik dalam YouTube sejak 16 Feb lepas.

Beliau berkata berdasarkan sambutan menggalakkan serta kedudukan lagu itu yang turut tersenarai dalam carta iTunes di beberapa negara, beliau yakin singlenya itu mampu menjadi batu loncatan buatnya meneroka bidang seni di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Nine11 terbitan Bernama News Channel di sini.

‘Put The Word In’ merupakan sebuah lagu hasil susunan DJ Aku Ash manakala lirik hasil kolaborasi Bryan B, DJ Aku Ash dan Kenny Hughes dengan dinyanyikan Sean Kingston, Kilafairy dan DJ Aku Ash.

 

Kilafairy yang kini di bawah naungan syarikat label Lion Music Group berkata lagu ‘Put The Word In’ boleh juga didapati di semua platform digital seperti Spotify, Joox, Apple music dan iTunes.

Anak kepada penyanyi terkenal era 90-an, Rohana Jalil itu turut mempunyai perancangan untuk mengeluarkan beberapa lagi ‘single’ pada masa hadapan.

“Kini, saya fokus pada single sahaja dan belum mempunyai perancangan untuk menghasilkan album,” katanya.

Kilafairy mula terlibat dalam bidang nyanyian dengan single pertamanya “Pasti” pada 2012 dan empat tahun kemudian, menghasilkan dua lagi single - Warna Cinta bersama Aliff Aziz ,dan Setia.

((BERNAMA))