Saturday, June 23, 2018
vital-top
updated 11:34 AM UTC, Jun 23, 2018

Farid Kamil Mengaku Tidak Bersalah Reka Keterangan Palsu

  • Published in Hiburan

PETALING JAYA - Selepas didakwa atas  lima pertuduhan antaranya positif dadah dan mendatangkan kecederaan, pelakon terkenal Datuk Farid Kamil sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini, kali ini atas pertuduhan mereka keterangan palsu dan tidak benar berhubung dianiaya tiga rakan artis yang meletakkan dadah ke dalam minumannya.

Farid Kamil Zahari, 37,  bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Dia didakwa mereka keterangan palsu dalam satu  laporan polis dengan memasukkan maklumat tidak benar dan laporan tersebut boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Pelakon filem J Revolusi itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Damansara, di sini pada 5.54 petang, 31 Jan lepas mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda mengikut Seksyen 193 Kanun yang sama jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Farid Kamil yang diwakili peguam Faizul Mohd Nasir memohon jaminan rendah atas alasan pelakon itu menanggung isteri, anak-anak serta ibu bapa yang sudah tua serta  menghidapi pelbagai penyakit yang memerlukan rawatan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei untuk sebutan semula kes.

Turut hadir bersama Farid Kamil yang tiba di perkarangan mahkamah pada pukul10 pagi  adalah adik lelakinya Fadzil Bahari Zahari yang juga suami kepada pelakon Yana Samsudin.

 ((BERNAMA))