Saturday, June 23, 2018
vital-top
updated 11:34 AM UTC, Jun 23, 2018

Laporan Palsu: Pelakon Farid Kamil Didakwa Esok

  • Published in Hiburan

SHAH ALAM - Pelakon dan pengarah filem terkenal, Datuk Farid Kamil akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok atas kesalahan membuat laporan palsu berhubung kes dadah yang dihadapinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 37, akan dituduh mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor yang dirasmikan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor di sini.

Pada 4 Feb lepas, Farid Kamil membuat laporan polis menyatakan dirinya telah dianiaya tiga rakan artis yang didakwa mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga mendorongnya berkelakuan ganas.

 

Bagaimanapun, dalam satu sidang media di Shah Alam beberapa hari selepas itu Farid Kamil mendakwa, dua individu yang diminta tampil bagi membantu siasatan polis dalam kes melibatkan dirinya bukan rakan artis berkenaan.

Katanya, nama dan foto dua individu terbabit telah diserahkan kepada pihak polis ketika laporan dibuat, namun sebaliknya siasatan dilakukan ke atas individu berbeza.

Pada 16 Jan lepas, suami kepada pelakon popular Datin Diana Danielle itu mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Selain itu, pada 25 Jan lepas, Farid Kamil juga mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis THC (11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid).

((BERNAMA))