Friday, January 19, 2018
vital-top
updated 9:04 AM UTC, Jan 19, 2018

Mak Yong Titis Sakti Muncul Semula Di KLPAC

  • Published in Hiburan

KUALA LUMPUR – Mak Yong Titis Sakti, sebuah naskah yang diolah kembali berdasarkan karya komedi romantis ‘A Midsummer Night's Dream', tulisan William Shakespeare, akan dipentaskan semula di Pentas Seni, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) di sini, pada 27 Jan hingga 4 Feb ini.

Arahan Norzizi Zulkifli, pementasan kali kedua di KLPac selepas 2009 oleh The Actors Studio (TAS) Seni Teater Rakyat itu adalah sebagai persembahan pembuka tirai sambutan ulang tahun TAS ke-30 tahun depan.

Beliau berkata pementasan semula teater itu akan menggabungkan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu selain mengekalkan dialek Kelantan yang sememangnya sinonim dengan persembahan Mak Yong.

 

 

Mak Yong Titis Sakti yang pernah mendapat pelbagai pengiktirafan dari luar negara termasuk menjadi satu-satunya karya dari Malaysia yang tersenarai dalam himpunan arkib Shakespeare dikenali dengan nama Asian Shakespeare Intercultural Archive (ASIA) yang berpusat di Singapura.

Karya itu juga telah mendapat perhatian di Universiti Nasional Singapura apabila menjadi sebahagian silibus kuliah Intercultural Theatre di universiti itu, serta banyak diperbincangkan dalam penerbitan jurnal akademik Routledge Teater Asia.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket persembahan teater ini pada harga RM40, RM60 dan RM80 dengan menghubungi KLPac di talian 03-40479000, tiketpro (03-788-7999) atau layari laman sesawang www.klpac.org untuk maklumat lanjut.

((BERNAMA))