Sunday, February 25, 2018
vital-top
updated 3:08 PM UTC, Feb 24, 2018

Malaysia Satu-Satunya Negara Diberi Klausa Pilihan Keluar Dalam TPPA

 

Kuala Lumpur  - Malaysia merupakan satu-satunya negara yang diberi klausa pilih keluar dalam satu surat sampingan kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata Ketua Pakar Ekonomi Asian Development Bank, Jayant Menon.

"Ini sebenarnya membolehkan Malaysia menarik diri daripada TPPA walaupun tanpa cuba untuk meratifikasikannya di Parlimen. Tiada negara yang terlibat TPPA lain boleh melakukannya.

"Bagaimana Malaysia mampu memperolehnya, saya tidak tahu tetapi, saya fikir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed merupakan seorang perunding yang hebat," katanya pada Forum Ekonomi ASEAN.

Beliau berkata Malaysia mungkin negara paling berjaya dalam memperoleh pengecualian dalam banyak aspek sensitif, termasuk perkara seperti perolehan kerajaan, pembaharuan perusahaan negara atau syarikat berkaitan kerajaan dan perlindungan dalam sesetengah bidang pembaharuan harta intelek.

"Dengan begitu banyak pengecualian, kemungkinan tiada masalah untuk Malaysia menyertai TPPA akhirnya," katanya.

Bagaimanapun Jayant berpendapat, TPPA itu sendiri mungkin tidak menjadi realiti jika ia tidak diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat.

"Tiada jaminan ia akan direalisasikan. Republikan perlu disokong dalam jumlah yang besar memandangkan Demokrat telah menentangnya.

"Politik memainkan peranan besar ketika ini. Tiada jaminan TPPA akan mudah diluluskan Kongres. Kita hanya perlu tunggu dan lihat," katanya.

  • Ditulis oleh BeritaRTM
  • Kategori: Ekonomi
  • Jumlah paparan: 267