Thursday, 23 September 2021

updated 1:42 PM UTC, Sep 23, 2021

FDI Malaysia lonjak 223.1 peratus

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 13 September - Pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia melonjak 223.1 peratus bagi separuh pertama 2021 berbanding tempoh sama, tahun lepas.

Peningkatan memberangsangkan itu, menandakan keyakinan pelabur asing kepada iklim ekonomi negara yang stabil dan kondusif serta ekosistem perniagaannya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan menyebut, prestasi tersebut menandakan negara, kini menuju ke arah pemulihan ekonomi yang rancak dan lebih mampan.

Ini sekaligus membuktikan strategi negara dalam menjadi destinasi pilihan pelaburan yang menarik dan hab rantaian bekalan di ASEAN, terutama bagi operasi pembuatan, menunjukkan hasil positif.

Sektor pembuatan turut merekodkan prestasi kukuh bagi enam bulan pertama tahun ini dipacu FDI diluluskan berjumlah RM58.2 bilion.

Manakala baki RM8.7 bilion pelaburan dalam sektor berkenaan disumbangkan oleh pelabur domestik.

Bagi keseluruhan pelaburan yang diluluskan, negara merekodkan RM107.5 bilion FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor pengeluaran, perkhidmatan dan sektor utama.

Ia melibatkan 2,110 projek yang dijangka menjana 44,994 peluang pekerjaan di negara ini.