Monday, 8 March 2021

updated 5:21 AM UTC, Mar 8, 2021

Had harga siling petrol RON95, diesel ditetapkan pada RM2.05 dan RM2.15 seliter

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA, 10 Februari - Kerajaan bersetuju untuk menetapkan had harga siling bagi petrol RON95 dan diesel, masing-masing pada paras RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata langkah itu dibuat bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak yang ketara apabila harga sebenar minyak di pasaran global meningkat.

Beliau berkata paras harga siling bagi kedua-dua produk itu lebih rendah berbanding had harga yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu pada 2019.

Harga berkenaan adalah RM2.08 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter untuk diesel.

Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi.

Keputusan ini diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia yang turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia.

Tengku Zafrul berkata trend harga minyak global itu turut dipengaruhi oleh pelan vaksinasi COVID-19 yang mula dilancarkan secara beransur di seluruh dunia.

Program Imunisasi Kebangsaan di Malaysia akan bermula hujung bulan ini.