Thursday, 4 March 2021

updated 2:51 PM UTC, Mar 4, 2021

COVID-19: PUNB tawar tangguh bayaran pembiayaan, diskaun sewa premis perniagaan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 24 Januari - Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memberikan penangguhan pembayaran pembiayaan dan tawaran diskaun sebanyak 50 peratus sewa premis perniagaan PUNB selama enam bulan berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar, kemudahan tersebut akan membantu usahawan kekal berdaya tahan ketika pandemik COVID-19 masih menular di negara ini.

Dalam kenyataan media, beliau menjelaskan, penangguhan pembayaran tersebut hanya terpakai ke atas prinsipal sahaja manakala kadar keuntungan yang sudah ditetapkan perlu dibayar seperti biasa setiap bulan.

Pemberian penangguhan pembayaran pembiayaan tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,000 Rakan Usahawan PUNB melibatkan kutipan sebanyak RM110 juta.

Semua Rakan Usahawan PUNB yang telah mendapat penangguhan pembayaran pembiayaan bagi tempoh April hingga Disember 2020 secara automatik layak menerima inisiatif tersebut.

Bagi tawaran diskaun sewa premis perniagaan PUNB pula akan memanfaatkan 226 penyewa premis di seluruh negara melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM2.5 juta.