Thursday, 4 March 2021

updated 3:31 PM UTC, Mar 4, 2021

Subsidi minyak masak kurangkan impak negatif turun naik harga minyak sawit

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA, 21 Januari - Strategi subsidi minyak masak yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNEHP) telah mengurangkan impak negatif akibat turun naik harga minyak sawit di pasaran dunia terhadap pengguna tempatan.

Kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali memaklumkan, walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat dengan ketara dalam tempoh Julai 2019 hingga bulan ini, namun peningkatan minyak masak di pasaran tempatan tidak ketara.

Harga purata MSM di pasaran tempatan telah mencatatkan paras terendah pada Julai 2019 iaitu hampir RM2,000 untuk satu tan dan meningkat pada paras tertinggi kepada lebih RM3,000 satu tan pada Disember tahun lepas.

Lonjakan harga itu telah meningkatkan hasil kepada negara selain dapat membantu kira-kira 500,000 pekebun sawit meningkatkan taraf sosioekonomi.

Kementerian juga berharap harga pasaran sawit dunia akan terus kekal tinggi tahun ini agar rakyat dapat menikmati manfaat melalui pulangannya oleh kerajaan.

Datuk Dr Mohd. Khairuddin turut memaklumkan, berdasarkan Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan sekitar 1 juta tan metrik sawit adalah untuk kegunaan pasaran minyak masak tempatan.