Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

Pelan Pemulihan Pelancongan rancak semula pelancongan domestik

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 25 November - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui agensinya, Tourism Malaysia akan menggerakan Pelan Pemulihan Pelancongan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) bertujuan merancakkan semula sektor itu yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Jelas menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, pelan yang menggariskan tiga teras utama itu melibatkan kerjasama penggiat industri pelancongan negara termasuk syarikat penerbangan, pengangkutan dan badan bukan kerajaan seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet (MyBHA).

Kempen penggalakkan pelancongan bermula bulan depan sehingga Februari 2021 itu turut menggalakkan penggunaan teknologi digital melalui tempahan dan pembelian di platform e-market dan penebusan e-baucar tunai.

Potongan diskaun antara RM50 ke RM100 kepada 39,000 pengguna turut ditawarkan untuk tempahan kelas ekonomi dan perniagaan di bawah Kempen Cuti-Cuti Malaysia menerusi inisiatif pengangkutan negara.

Bukan itu sahaja, diskaun pembelian produk kraf di Outlet Karyaneka juga ditawarkan bagi menggalakkan penjualan kraftangan tempatan.

Dalam pada itu, Datuk Seri Nancy menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan gelembung perjalanan domestik antara zon hijau dengan mematuhi SOP dalam norma baharu sepanjang perjalanan.

Sehubungan itu, pemain industri pelancongan diminta sentiasa menampilkan tawaran pakej menarik bagi memastikan kelestarian ekonomi pelancongan yang merupakan salah satu penyumbang besar ekonomi negara.