Saturday, 23 January 2021

updated 8:52 AM UTC, Jan 23, 2021

BPN 2.0 memanfaatkan 9.86 juta penerima, babitkan nilai RM4.5 bilion

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA, 24 November - Sejumlah RM4.5 bilion Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) Fasa Pertama berjaya disalurkan kepada lebih 9.86 juta penerima.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Dato Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ia merangkumi 7 juta penerima daripada kategori B40 dan 2.86 juta penerima daripada kategori M40.

Bagi Geran Khas PRIHATIN (GKP), seramai 304,000 PKS Mikro layak bakal menerima bantuan secara sekali bayar berjumlah RM3,000 dengan bayaran keseluruhan sebanyak RM912 juta.

Beliau mengumumkan perkembangan terkini bantuan yang disalurkan kerajaan menerusi Laporan LAKSANA ke-30.

Dalam pada itu, RM1.5 bilion disediakan menerusi Belanjawan 2021 khusus bagi membantu 70,000 majikan dan 900,000 pekerja daripada sektor pelancongan dan peruncitan, untuk tempoh tiga bulan.

Jelas Tengku Dato Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, langkah proaktif itu dirangka bagi memastikan semua sub-sektor terbabit menerima bantuan secukupnya.

Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion sebagai pakej galakan pelaburan nilai tambah tinggi, antaranya bidang aeroangkasa dan elektronik.

Manakala RM3.7 bilion untuk penjanaan pekerjaan menerusi kerjasama syarikat berkaitan kerajaan dan swasta.

Bagi memperkasa infrastruktur digital negara pula, dana sebanyak RM9 bilion bakal diuruskan, termasuk menambah baik kesalinghubungan 430 buah sekolah dan kawasan perindustrian.