Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

Inisiatif Gelembung Perjalanan Domestik Zon Hijau aktifkan semula pelancongan tempatan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 24 November - Hampir 44,000 bilik hotel dengan pelbagai pakej tawaran seperti rebat baucar, tunai dan diskaun menanti pelancong tempatan menerusi pelbagai kempen penggalakan pelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kempen menerusi kerjasama syarikat penerbangan dan beberapa persatuan hotel itu adalah sebahagian pelan pemulihan pelancongan berikutan pandemik COVID-19.

Kempen bermula bulan depan sehingga Februari 2021 turut menggalakkan penggunaan teknologi digital melalui tempahan dan pembelian di platform e-market dan penebusan e-baucar tunai.

Mengenai Kempen Cuti-cuti Malaysia menerusi inisiatif pengangkutan pula, diskaun kepada 39,000 pengguna antara RM50 ke RM100 ditawarkan untuk tempahan kelas ekonomi dan perniagaan.

Selain itu, diskaun pembelian produk kraf di Outlet Karyaneka turut ditawarkan bagi menggalakkan penjualan kraftangan tempatan.

Datuk Seri Nancy mengulas perkara itu dalam sidang media khas status terkini gelembung perjalanan pelancongan domestik di ibu negara.

Beliau menyifatkan inisiatif Gelembung Perjalanan Domestik Zon Hijau adalah satu usaha memastikan sektor pelancongan negara kembali aktif.