Sunday, 6 December 2020

updated 2:28 PM UTC, Dec 5, 2020

Kapasiti, daya saing perusahaan mikro akan dibangunkan

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA, 19 November - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan membangunkan kapasiti dan daya saing perusahaan mikro agar mampu mendepani cabaran ekoran pandemik COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata usaha mengesan dan membantu golongan itu akan diperkasa tahun depan khususnya bagi memastikan mereka mendaftar perniagaan masing-masing.

Beliau memaklumkannya selepas menyempurnakan pra pelancaran Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2020 dan pelancaran Platform Warong Rider Peringkat Kebangsaan di Putrajaya.

Tambah Datuk Seri Dr. Wan Junaidi, pihaknya menganggarkan terdapat lebih satu juta usahawan mikro yang tidak berdaftar di seluruh negara.

Kegagalan mendaftar perniagaan menyebabkan golongan itu gagal dikesan sekali gus bantuan sepertimana yang diberi kepada usahawan PKS dan mikro berdaftar tidak dapat disalurkan.

Faktor yang menyebabkan perusahaan mikro tidak didaftar ialah mahu mengelak cukai dan bimbang sekiranya tidak tersenarai sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Menyentuh mengenai "Warong Rider", beliau berkata program berkenaan merupakan platform servis penghantaran yang boleh digunakan oleh semua golongan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.