Tuesday, 27 October 2020

updated 9:22 AM UTC, Oct 27, 2020

Sabah laksana inisiatif lonjakkan semula sektor pelancongan

  • Published in Ekonomi

KOTA KINABALU, 17 Oktober - Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yakin mampu melonjakkan semula industri pelancongan negeri berkenaan melalui beberapa inisiatif.

Menerusi satu kenyataan, Menterinya Datuk Jafry Ariffin berkata, antara inisiatif yang akan dipertimbang mengikut garis panduan Pertubuhan Pelancongan Sedunia PBB (UNWTO) untuk membuka semula pelancongan.

Inisiatif termasuk penggunaan sistem teknologi baharu untuk menghubungkan data kesihatan pelancong bagi memastikan pelancong yang datang ke Sabah berstatus sihat dan bebas COVID-19.

Mengutamakan keselesaan pelancong, kementerian akan menaiktaraf infrastruktur pelancongan sedia ada mengikut prosedur operasi standard disarankan Kementerian Kesihatan.

Kementerian itu juga sedia bekerjasama dengan negara luar termasuk pelabur asing demi menghidupkan kembali industri pelancongan.

Industri pelancongan Sabah mencatat kerugian sekurang kurangnya RM320 juta dari Januari hingga Februari tahun ini, kesan awal pandemik COVID-19 yang mula dikesan di China hujung 2019.