Saturday, 24 October 2020

updated 12:04 PM UTC, Oct 24, 2020

Bank Negara komited pastikan kecairan ringgit mencukupi

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 22 September - Kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) akan sentiasa memastikan keadaan pasaran kewangan lebih teratur dan lancar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, BNM komited memperkenal langkah untuk memastikan kecairan ringgit mencukupi, pasaran kekal berdaya tahan dan aktiviti spekulasi dalam pasaran dikurangkan.

Katanya, dalam jangka masa panjang, nilai ringgit akan didorong terutama oleh kekuatan asas ekonomi negara.

Justeru, sektor perniagaan disaran tidak bergantung kepada nilai ringgit semata-mata untuk meningkatkan daya saing.

Sebaliknya, tumpuan perlu diberi terhadap usaha meningkatkan produktiviti dan inovasi serta pengurangan kos.

Sementara itu, nilai ringgit menyusut 0.5% sehingga 18 September lepas.

Penyusutan itu berikutan ketidaktentuan berkaitan perkembangan geopolitik dan kemerosotan sentimen pelabur dalam pasaran kewangan dunia.

Ia juga disebabkan kebimbangan ketara membabitkan penularan COVID-19 dan kejatuhan harga minyak global.

Tambah Tengku Datuk Seri Zafrul, perkembangan ini sejajar dengan pergerakan mata wang serantau yang berubah dalam lingkungan 4.8% sehingga 10.9%.

Disebalik persekitaran global yang mencabar serta pasaran kewangan dunia yang tidak menentu, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan penting sebagai penyerap kejutan terhadap keadaan luaran yang berubah.

Bagaimanapun, votaliti ringgit yang ketara boleh meningkatkan ketidaktentuan dan menjejaskan aktiviti ekonomi berikutan kesukaran sektor perniagaan dan perindustrian merancang strategi serta mengambil keputusan wajar.

Beliau menjawab pertanyaan senator Datuk Teo Eng Tee di Parlimen.