Friday, 25 September 2020

updated 2:03 PM UTC, Sep 25, 2020

RM70 juta diperuntuk, majukan taraf ekonomi Sabah

  • Published in Ekonomi

BEAUFORT, 17 September - Lebih RM70 juta diperuntuk untuk memajukan taraf sosio ekonomi peladang, penternak dan nelayan di Sabah tahun ini.

Peruntukan itu bagi menaiktaraf infrastruktur pengairan dan saliran, membangunkan projek tanaman, perikanan, ternakan dan tenusu serta bantuan berbentuk input, teknologi dan insentif galakan skim pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, 27% atau kira-kira 1.98 juta hektar daripada guna tanah Sabah adalah bagi tujuan pertanian.

Dengan keluasan tanah pertanian itu, Sabah mempunyai potensi yang sangat besar dalam industri makanan.

Sumbangan sektor pertanian Sabah kepada KDNK pertanian negara pada 2019 bernilai RM13.7 bilion atau 13.5%.

Selain itu, Sabah turut berpotensi membangunkan produk-produk pertanian serta hasil perikanan.

Datuk Ronald berucap dalam Program Perdana Menteri Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah serta Pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit di Beaufort.

Beliau berharap, pelbagai bantuan khas yang disampaikan kerajaan dapat dimanfaatkan para peladang, penternak, nelayan dalam meneruskan aktiviti pertanian masing-masing.