Tuesday, 29 September 2020

updated 9:54 AM UTC, Sep 29, 2020

Bank Muamalat buka semua cawangan pada hujung minggu

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 11 September - Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) mengumumkan pembukaan kesemua cawangannya di seluruh negara pada hujung minggu.

Ia bertujuan membantu pelanggan yang menghadapi kekangan kewangan bagi memohon bantuan bayaran pasca moratorium.

Cawangan Bank Muamalat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan dibuka pada esok dan lusa serta 19 dan 20 September.

Cawangan di Kelantan dan Terengganu pula dibuka pada hari ini dan esok serta 18 dan 19 September.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya mengambil berat tentang pelanggan dan sedia membantu mereka yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan bayaran pembiayaan selepas tempoh moratorium berakhir pada 30 September.

Menurut beliau sehingga 10 September, Bank Muamalat telah berjaya menghubungi 100% daripada kumpulan sasar pelanggan.

Namun daripada jumlah itu hanya 17% yang memberikan maklum balas.

Pelanggan yang ingin memohon bantuan dinasihati untuk membawa bersama slip gaji terkini, dokumen sokongan seperti surat pemberhentian kerja atau pemotongan gaji atau cuti tanpa gaji dan Surat Akuan Bersumpah.