Tuesday, 29 September 2020

updated 9:13 AM UTC, Sep 29, 2020

Pakej istimewa Penjawat awam, tingkat promosi pelancongan domestik

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 4 September - Bagi meningkatkan promosi pelancongan domestik, Tourism Malaysia dengan kerjasama Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, LPPM dan CUEPACS melancarkan 'Pakej Istimewa Penjawat Awam'.

Inisiatif jangka pendek itu dirangka sempena kempen Cuti- Cuti Malaysia.

Pelancaran Pakej istimewa Penjawat Awam bagi fasa pertama, disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri di ibu negara.

pakej itu juga sebagai hadiah kepada penjawat awam kerana mereka, antara yang terlibat secara langsung bagi mengekang penularan COVID-19.

11 agensi pelancongan mengambil bahagian mempromosikan pakej percutian 2 hari 1 malam dan 3 hari 2 malam yang melibatkan hotel bertaraf 5 dan 4 bintang di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Genting Hinglands, dengan menawarkan harga pakej serendah RM120 seorang.

Di samping tawaran penginapan, penjawat awam dapat menikmati pakej produk-produk pelancongan yang menarik, dengan tawaran diskaun harga tiket sehingga 30 peratus.

Pakej permulaan, merangkumi produk-produk pelancongan di sekitar Lembah Klang, dan ia akan diperluas ke negeri-negeri lain untuk fasa akan datang.

Penjawat awam boleh mendapatkan pakej-pakej ini dengan hanya menggunakan pas pekerja penjawat awam di agensi-agensi pelancongan terpilih.

Sementara itu, Tourism Malaysia menyasarkan kira-kira RM300 juta pendapatan bagi tempoh sebulan atau RM3 bilion setahun menerusi pakej istimewa itu, yang melibatkan lebih 1.2 juta kakitangan awam.