Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

1,000 hektar sawah padi terjejas akibat kemarau

  • Published in Ekonomi

SIK - Kira-kira 1,000 hektar kawasan sawah padi di luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terjejas angkara kemarau yang melanda negeri itu sejak penghujung Disember lalu.

Kawasan terjejas dikesan khususnya di Padang Terap dan Pendang.

Exco Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Negeri Kedah, Azman Nasruddin berkata, pihaknya merancang untuk menyalurkan bantuan kepada pesawah yang terjejas.

Azman memaklumkan, pihaknya kini sedang mengumpul data mengenai jumlah pesawah dan bentuk pampasan yang akan disalurkan kepada mereka yang terjejas.

Kedah mengalami musim kering lebih awal iaitu pada bulan Disember berbanding sebelum ini kebiasannya berlaku pada bulan Januari.

Bagaimanapun kawasan sawah di bawah jagaan MADA masih terkawal dan tidak terjejas kerana menerima bekalan air mencukupi dari Empangan Pedu.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, daerah Kubang Pasu dipilih menjadi kawasan projek perintis bagi pengeluaran buah tembikai madu di Kedah.

Ia membabitkan kawasan seluas 12 ekar yang bakal diusahakan 20 usahawan tani muda.

Untuk tujuan itu, pihaknya telah membuat permohonan peruntukan berjumlah RM3 juta kepada Kerajaan Persekutuan.

Beliau menyasarkan, projek itu akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada bulan April depan.

Tambahnya, usahawan terlibat akan diberi latihan secukupnya untuk menjalankan projek tanaman tembikai madu secara hidroponik selain turut dibekalkan peralatan dan benih.

Projek berkenaan dijalankan secara ladang kontrak.

Beliau ditemui media selepas menyampaikan bantuan pokok kelapa pandan dan insentif peralatan pertanian kepada 63 orang pengusaha projek pertanian di Sik, Kedah.

Mereka adalah sebahagian daripada 4,593 pengusaha yang menerima bantuan tersebut dari kerajaan negeri. Ia membabitkan peruntukan berjumlah RM1.1 juta.