Sunday, January 19, 2020
updated 1:23 AM UTC, Jan 19, 2020

Peruntukan RM650 juta disediakan bagi usaha menaiktaraf Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT)

  • Published in Ekonomi

BUTTERWORTH - Peruntukan RM650 juta disediakan dalam usaha menaiktaraf Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, RM300 juta telah diperuntukkan kepada NBCT sepanjang tahun lalu dalam usaha merancakkan sektor perdagangan dalam pelabuhan terbabit. Manakala bagi tahun 2020 hingga 2023, Penang Port Sdn Bhd bercadang untuk menambah RM350 juta lagi peruntukan, menjadikannya RM650 juta untuk menambah baik dan mempertingkat mutu perkhidmatan pelabuhan tersebut.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke NBCT bersama Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jefferey Chew.

Lim turut menegaskan, NBCT akan membuka satu zon komersial bebas dalam usaha melipatgandakan perkhidmatan pelabuhan dan menjadikan NBCT sebagai salah sebuah pelabuhan utama.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan berkata, industri logistik akan diberi nafas baharu dengan nilai dagangan lebih kukuh daripada pemain industri, khususnya dari selatan Thailand yang menggunakan NBCT sebagai pintu utama produk perdagangan negara itu.

Eksport dari Thailand menggunakan NBCT mencatatkan peningkatan 72 peratus tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Ini membuktikan peranan NBCT sebagai satu hab logistik utama di kawasan utara tanah air.