Sentimen berhati-hati pelabur ekoran peningkatan COVID-19

 

KUALA LUMPUR, 1 Julai - Peningkatan kes COVID-19 di peringkat global terutama di Amerika Syarikat telah membawa sentimen berhati-hati pelabur asing minggu lepas.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berpandangan pelabur turut membuat penilaian kepada prospek ekonomi disebalik langkah pembukaan semula ekonomi negara.

Dua faktor itu telah mencetuskan kegusaran serta mengalihkan minat pelabur kepada aset berkualiti tinggi seperti bon kerajaan Malaysia.

Dana asing kekal sebagai penjual bersih minggu lalu di Bursa Malaysia, dengan aliran keluar berjumlah RM444.92 juta dari Isnin hingga Khamis.

Sementara itu, mengulas kemungkinan Bank Negara menurunkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari bulan ini, jelasnya perkara itu tidak mustahil.

Bagaimanapun, beliau melihat tiada keperluan untuk menurunkan kadar faedah sekiranya kedudukan fiskal negara menunjukkan pemulihan susulan pembukaan semula sektor ekonomi.