Friday, 14 August 2020

updated 10:57 AM UTC, Aug 14, 2020

ASB 3 Didik, ASN Equity 2 agih pendapatan 4.25 sen, 2 sen seunit

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 30 Jun - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 4.25 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 3 Didik dan 2 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional Equity 2.

Agihan kedua-dua dana ini akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan dikreditkan secara automatik bermula esok.

Agihan bagi ASB 3 Didik berjumlah RM275.4 juta bakal memanfaatkan 298,560 pemegang unit yang memiliki lebih daripada 6.5 bilion unit.

Manakala ASN Equity 2 melibatkan agihan pendapatan sebanyak RM29.4 juta kepada 33,277 pemegang unit, yang memiliki lebih daripada 1.4 bilion unit.

Pengagihan pendapatan yang diumumkan oleh dana-dana ini diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen dan pendapatan lain.

Ini selaras dengan matlamat Permodalan Nasional Berhad P-N-B untuk terus memberikan pulangan jangka panjang kepada pemegang unitnya.

Urus niaga untuk ASB 3 Didik dan ASN Equity 2 ditangguhkan buat sementara waktu dari 25 hingga 30 Jun 2020 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara pada 1 Julai 2020.