Tuesday, July 7, 2020

updated 2:54 PM UTC, Jul 7, 2020

KPPK kaji langkah penyelesaian penutupan kilang Mardec Processing Sdn Bhd

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA, 29 Jun - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang mengkaji langkah penyelesaian berhubung isu penutupan sebuah kilang getah di Kuala Berang, Terengganu.

Menurut Menterinya, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, penutupan kilang MARDEC Processing Sdn Bhd itu akan memberi impak kepada aktiviti pengeluaran dan pemprosesan getah yang melibatkan pekebun-pekebun kecil sekitar Hulu Terengganu.

Menerusi kenyataan media, penutupan kilang yang mempunyai kapasiti memproses lebih 2 ribu tan sebulan itu juga akan memberi kesan kehilangan pekerjaan kepada lebih 110 orang.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) melihat cadangan penutupan kilang terebut memberi impak kepada aktiviti pengeluaran dan penjualan getah pekebun kecil yang akan menjejaskan pendapatan mereka.

Rekod LGM menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada 2,700 pekebun kecil di Hulu Terengganu dan secara tidak langsung akan memberi kesan kepada 19,350 pekebun kecil di seluruh negeri tersebut.

Kementerian menerusi LGM turut bersedia memberi khidmat teknikal dan membantu pihak pengurusan kilang tersebut untuk membuat kajian menyeluruh.

Ia bagi mengenal pasti masalah operasi kilang dan punca-punca yang menyebabkan Kilang MARDEC Kuala Berang mengalami kerugian dan seterusnya tidak dapat meneruskan operasi.