Tuesday, July 7, 2020

updated 2:54 PM UTC, Jul 7, 2020

COVID-19: Industri pelancongan negara rugi RM45 bilion

  • Published in Ekonomi

 

KUCHING, 27 Jun - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganggarkan kerugian industri pelancongan negara mencecah RM45 bilion untuk separuh pertama tahun ini.

Bagi membantu industri bangkit semula, semua inisiatif pelancongan dilaksana segera seperti kempen Cuti-Cuti Malaysia dan aktiviti promosi di semua platform.

Selain itu, kualiti produk dan perkhidmatan pelancongan akan dipertingkat berasaskan kebiasaan baharu pasca COVID-19 bagi meningkatkan keyakinan pelancong untuk bercuti.

Strategi sokongan turut dilaksana bagi memastikan pelancong menetap lebih lama, mempelbagaikan lokasi serta berbelanja di Malaysia.

Geran padanan Galakan Melancong Malaysia atau GAMELAN akan diperluas khususnya untuk tujuan aktiviti promosi dan pemasaran tempatan.

Dana Khas untuk Pelancongan membantu pembangunan usahawan pelancongan kecil dan sederhana menerusi pinjaman juga telah disediakan kerajaan bagi memastikan sektor pelancongan pulih semula.

Menurut Datuk Seri Nancy Shukri, industri pelancongan menjadi salah satu sektor paling teruk terjejas kerana COVID-19 dan memerlukan strategi berkesan untuk ia bangkit semula.

Beliau optimis, menerusi pendekatan diambil MOTAC, pemain industri dapat menjana semula pendapatan selepas COVID-19 berjaya dikawal.

Datuk Seri Nancy berucap pada Sesi Libat Urus bersama Penggiat Industri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sarawak.