Monday, November 20, 2017
vital-top
updated 3:10 PM UTC, Nov 20, 2017

Kerajaan Perkenal Skim Tanaman Nanas MD2 Bagi Pekebun Kecil

KLUANG - Kerajaan hari ini memperkenalkan Skim Tanaman Nanas MD2 bagi pekebun kecil dalam usaha membantu pengusahanya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata skim itu diberi di bawah peruntukan pembangunan sektor kecil MD2 yang berjumlah RM5 juta bagi tahun 2017/2018.

Ia bertujuan mengupayakan golongan pekebun kecil agar mereka mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan.

Katanya, dengan peluang pasaran MD2 yang meluas lebih-lebih lagi di negara seperti China, Singapura, Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara di Timur Tengah, pekebun kecil harus berani melakukan tranformasi.

Tambahan pula , pada Mei lepas, beliau juga telah menandatangi Protokol Keperluan Fitosanitasi Nanas dengan Menteri Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Quarantin China, Zhi Shuping bagi membolehkan Malaysia mengeksport sebanyak 12,000 tan metrik nanas setahun ke negara itu.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Ramah Mesra bersama Kelompok Pengusaha Nanas Negeri Johor di Pusat Pengumpulan Nanas Kelompok Parit Ghani, Simpang Renggam, hari ini.

Justeru itu, katanya untuk memohon skim terbabit, pekebun perlu memiliki keluasan tanah minimum 1.2 hektar dan empat hektar (maksimum), serta berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Apabila permohonan diluluskan, mereka akan memperolehi bantuan minimum sebanyak RM30,000 dan maksimum RM60,000 dengan jangkaan skim itu memberi manfaat kepada 250 orang peserta melibatkan keluasan tanaman MD2 sebanyak 300 hektar, katanya.

((BERNAMA))