Logo

Harga minyak sawit mentah dijangka meningkat

 

KUALA LUMPUR , 27 Mei - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mencecah paras RM2,300 hingga RM2,400 satu tan metrik dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, menerusi kenyataan, memaklumkan peningkatan harga minyak sawit di pasaran bukan sahaja bakal melegakan puluhan ribu pekebun kecil tetapi turut menguntungkan penggiat industri komoditi ini di Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Diperjelaskan kenaikan harga itu, berikutan hubungan diplomatik Malaysia-India yang semakin baik.

Selain, langkah kerajaan India yang tidak melanjutkan sekatan import minyak sawit ditapis dijangka turut membantu meningkatkan eksport Malaysia ke negara berkenaan.

Perkembangan ini, akuinya pasti menggembirakan dan MPOB berharap agar harga terus stabil dan meningkat kepada momentum yang lebih memberangsangkan.

Harga minyak sawit terendah pernah dicatatkan adalah sebanyak RM1,794.50 satu tan metrik pada Disember 2018 dan RM1,879 satu tan metrik pada Julai 2019 bagi tempoh 2016-2019.

Komoditi sawit menyumbang 4.76 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berjumlah RM64.84 bilion.

Beliau berharap harga sawit akan terus melambung tinggi agar dapat dimanfaatkan terutama pekebun sawit di Malaysia bagi membantu menampung perbelanjaan keluarga ketika negara di landa pandemik COVID-19.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.