Monday, December 16, 2019
updated 4:59 AM UTC, Dec 16, 2019

Perdagangan Malaysia-China dijangka catat paras tertinggi tahun ini

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR - Perdagangan dua hala Malaysia-China dijangka mencatat paras tertinggi tahun ini berdasarkan prestasi sembilan bulan pertama 2019.

Duta Khas Malaysia ke China Tan Kok Wai berkata, bagi tempoh tersebut, dagangan kedua negara mencecah AS$89.75 bilion meningkat 11.3 peratus berbanding tempoh sama 2018.

Jelas beliau, tahun lalu, perdagangan Malaysia-China mencecah nilai tertinggi sebanyak AS$108.6 bilion.

Angka tersebut 683 kali lebih tinggi berbanding AS$159 juta yang direkodkan pada 1974 selepas kedua-dua negara memulakan hubungan diplomatik secara rasmi.

Sementara itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, beliau optimis pelancong China mampu melepasi angka 3 juta berdasarkan prestasi enam bulan pertama tahun ini dan tahun sebelumnya,

Sepanjang 2018, 2.94 juta warga China melancong ke Malaysia, peningkatan 29 peratus daripada 2.28 juta pada tahun sebelumnya.

Manakala, untuk separuh pertama tahun ini, negara menerima kemasukan lebih 1 juta pelancong China, peningkatan 6.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.