Monday, June 1, 2020

updated 2:10 PM UTC, Jun 1, 2020

Pasaran kewangan domestik terjejas akibat kegiatan penghindaran risiko global yang ketara

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 7 Mei - Pasaran kewangan domestik pada bulan Mac mengalami aliran keluar bukan pemastautin sebanyak RM17.7 bilion berikutan peningkatan sentimen penghindaran risiko global yang semakin ketara.

Ia berlaku disebabkan ketidakpastian pasaran terhadap impak COVID-19 kepada ekonomi.

Bank Negara Malaysia dalam laporan Sorotan Bulanan Mac 2020 menjelaskan, kegiatan penghindaran risiko global kekal ketara meskipun langkah rangsangan monetari dan fiskal berskala besar dilaksanakan di seluruh dunia.

Kesannya, ringgit menyusut nilai sebanyak 1.8% berbanding dolar AS.

Penanda aras Bursa Malaysia (FBM KLCI) juga merosot sebanyak 8.9% untuk ditutup pada 1,351 mata pada akhir Mac sejajar dengan penyusutan semua mata wang serantau.

Manakala, pertumbuhan pinjaman kekal mampan pada bulan Mac kerana disokong oleh peningkatan pinjaman perniagaan.

Inflasi keseluruhan juga menurun kepada -0.2% berbanding 1.3% pada bulan Februari.

Kualiti aset bank-bank kekal kukuh dengan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan terus stabil pada kadar 1.6% dan 1.0%.