Friday, December 13, 2019
updated 1:02 PM UTC, Dec 13, 2019

Amalan koperasi kembang perniagaan petani, penternak kecil

  • Published in Ekonomi

KOTA TINGGI - Amalan koperasi dapat membantu golongan petani dan penternak kecil mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan.

Selain meningkatkan hasil jualan, amalan koperasi turut membantu menjalankan inovasi terhadap produk yang dihasilkan

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, amalan koperasi itu dilihat menjadi perintis kepada golongan sasar menerima keuntungan melalui sewaan tanah, jualan produk dan pekerjaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Ramah Mesra bersama media Johor sempena Hari Pertubuhan Peladang Negara Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Kota Tinggi, Johor.

Kementeriannya kini telah mengadakan pertemuan bersama petani dan penternak kecil melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) bagi kawasan yang berpotensi untuk membuka koperasi tersebut.

Menurutnya, dalam tempoh enam bulan lagi, satu modul lengkap mengenai rangka penubuhan koperasi untuk penternak dan petani akan dikeluarkan.

Beliau turut berharap kejayaan pelaksanaan koperasi perintis itu akan mendapat sambutan golongan sasar.

Mengulas mengenai sambutan HPPNK 2019 di Plaza Angsana, Johor Bahru, beliau menyasarkan kehadiran kira-kira 500,000 pengunjung sepanjang empat hari acara dwitahunan itu berlangsung mulai 28 November hingga 1 Disember.

Sebanyak 350 gerai akan dibuka dengan anggaran hasil jualan sehingga RM30 juta.