Wednesday, November 20, 2019
updated 12:03 PM UTC, Nov 20, 2019

AirAsia gesa MAHB ambil tindakan segera tangani masalah kesesakan kaunter imigresen

  • Published in Ekonomi

KLIA2 - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia menggesa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) segera menangani masalah kesesakan kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Ia sebagai persediaan menerima kedatangan lebih 30 juta pelancong pada Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail dalam satu kenyataan menjelaskan, kesesakan teruk yang timbul disebabkan oleh barisan yang panjang di kaunter imigresen bagi pasport asing di klia2.

Tambahnya, ia menjadi semakin teruk terutama di waktu puncak dan ramai tetamu membuat aduan bahawa mereka terlepas penerbangan sambungan dan acara penting.

Masalah ini jelas mereka, disebabkan oleh reka bentuk dan konfigurasi klia2 yang tidak sesuai.

Isu ini telah dibawa kepada MAHB dan jaminan bahawa pengubahsuaian akan dilaksana bagi menambah kawasan menunggu untuk kaunter imigresen sehingga ke kawasan premis bebas cukai telah diberikan, namun masih belum ada tindakan dibuat.

Lapangan terbang adalah tempat pertama yang akan dilihat oleh pelancong setibanya di Malaysia dan mereka tidak patut disambut dengan ketidakcekapan dan perkhidmatan yang lemah.