Tuesday, June 2, 2020

updated 12:18 PM UTC, Jun 2, 2020

Pakej RM1 bilion untuk industri telekomunikasi

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 27 Mac - Beberapa pakej khas ditawarkan kepada pemain industri telekomunikasi bagi memastikan setiap rakyat kekal terhubung dan mampu menjalankan tugasan harian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kenyataan medianya menjelaskan, Pakej bernilai RM1 bilion itu hasil kerjasama syarikat-syarikat komunikasi turut meliputi usaha-usaha menambahbaik rangkaian.

Antara pakej yang ditawarkan termasuk internet percuma untuk semua pelanggan, bernilai lebih RM600 juta.

Ia meliputi pelanggan Pascabayar dan pra bayar Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile.

Mereka akan menerima internet berkelajuan tinggi percuma 1 gigabait sehari antara 8 pagi hingga 6 petang bermula 1 April sepanjang pelaksanaan PKP.

Tambahan RM400 juta disediakan untuk pelaburan rangkaian dan sokong permintaan yang semakin meningkat.

5 ribu kakitangan telekomunikasi bertugas bagi memastikan talian sentiasa tersedia.

Ini termasuk panggilan percuma untuk talian hotline penting dan kecemasan di lokasi kritikal.

Dalam pada itu peruntukan RM3 bilion melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 1 yang diumum 27 Februari lalu akan digunakan untuk melaksanakan 6 projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara.