Logo

Bank Islam tangguh bayaran balik pembiayaan

KUALA LUMPUR, 27 - Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) secara automatik menangguh atau menggantung semua pembayaran semula pembiayaan selama 6 bulan, membabitkan pelanggan individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta korporat berkuat kuasa 1 April.

Langkah tersebut bertujuan meringankan beban peminjam yang terjejas akibat penularan COVID-19 termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed dalam satu kenyataan berkata, ini sejajar pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai pemberian moratorium atau penangguhan, tidak termasuk baki kad kredit yang sememangnya disambut baik dan disokong penuh oleh Bank Islam.

Pelanggan yang sebelum ini menerima moratorium Bank Islam atau memohon bagi penjadualan dan penstrukturan semula obligasi pembiayaan masing-masing, kini boleh memilih untuk melepaskan pilihan itu.

Mereka sebaliknya boleh memilih pendekatan yang ditetapkan oleh bank pusat dengan syarat memenuhi kriteria ditetapkan.

Tawaran itu hanya membabitkan pembiayaan dalam denominasi Ringgit serta tidak mempunyai tunggakan melebihi 90 hari setakat 1 April 2020.

Bagi kemudahan kad kredit, Bank Islam menawarkan penukaran baki terkumpul kepada pinjaman bertempoh 3 tahun dengan kadar faedah lebih rendah bagi membantu peminjam mengurus hutang mereka dengan lebih baik.

 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.