Tuesday, October 22, 2019
updated 1:15 AM UTC, Oct 22, 2019

Cukai Perkhidmatan Digital: Penyedia luar negara disaran tampil daftar dengan Kastam

  • Published in Ekonomi

BANGI - Penyedia perkhidmatan digital luar negara yang ditetapkan membayar cukai perkhidmatan enam peratus, disaran tampil mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berharap, penyedia perkhidmatan utama di negara ini akan memanfaatkan peluang sempena pendaftaran yang bermula hari ini hingga 31 Disember nanti.

Proses kutipan cukai perkhidmatan akan berkuat kuasa 1 Januari 2020. Antara contoh penyedia perkhidmatan digital ialah spotify, lazada, netflix dan lain-lain.

Pelaksanaan cukai tersebut mampu mewujudkan persaingan yang lebih adil dalam sektor digital selain menjamin kelangsungan perkhidmatan syarikat terlibat.

Sementara itu, beliau juga optimis, kutipan cukai keseluruhan yang disasarkan berjumlah 150 bilion ringgit tahun ini dapat dicapai.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kem Cerdik Cukai 2019 di Bangi.

90 orang pelajar tingkatan 6 dan 30 guru pembimbing terlibat dengan program edisi ke sembilan itu.

Sepanjang lima hari kem tersebut, pelajar diberikan pendidikan percukaian sebagai persediaan awal memasuki alam pekerjaan sekaligus melahirkan masyarakat celik cukai.