Monday, November 18, 2019
updated 2:49 PM UTC, Nov 18, 2019

Pendapatan bersih LTAT tahun 2018 jatuh mendadak

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR - Pendapatan bersih sebelum audit Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi tahun kewangan 2018 jatuh 51.9 peratus kepada RM221 juta berbanding pendapatan bersih sebanyak RM459.5 juta bagi tahun sebelumnya yang diselaraskan semula.

Pengerusinya, Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin turut mengisytiharkan dividen sebanyak 2 peratus bagi tahun kewangan 2018.

Ini merupakan agihan dividen yang terendah dalam sejarah LTAT sejak 2014.

Antara tahun 2014 hingga 2017, agihan dividen adalah diantara 12 hingga 15 peratus.

Jelasnya, antara faktor penyumbang kepada prestasi buruk tersebut adalah penyataan semula akaun bagi tahun kewangan 2016 dan 2017, pembayaran dividen melampau dan melebihi kemampuan serta pembayaran dividen yang belum diterima oleh anak syarikat.

Tambahnya, LTAT turut mengalami impak negatif hasil daripada pelaksanaan Standard Laporan Kewangan Malaysia (MFRS) yang telah mengakibatkan rosot nilai sebanyak RM116.7 juta bagi tahun kewangan 2018.

Beliau bercakap demikian selepas memberi taklimat bagi Tahun Kewangan berakhir 2018 dan pengumuman dividen LTAT di ibu negara.

Firma perakaunan Ernst & Young ketika menjalankan penilaian kedudukan pada Febuari 2018 mendapati pendapatan LTAT terjejas akibat terlebih bayar dividen walaupun hasil pulangan aset lima tahun sejak 2014 lebih rendah dari kadar dividen yang diisytiharkan.