Monday, June 26, 2017
vital-top
updated 1:11 PM UTC, Jun 26, 2017

Projek Penanaman Herba Kacip Fatimah Mampu Jana Pendapatan Hampir RM100,000

TANGKAK - Projek penanaman herba Kacip Fatimah yang diusahakan di Kampung Sagil, dijangka mampu menjana pendapatan hampir RM100,000 kepada Persatuan Peniaga Kecil di kampung berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata projek yang dijalankan secara perladangan kontrak bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu adalah antara 34 projek dalam Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) di seluruh negara.

Projek penanaman herba Kacip Fatimah di kampung berkenaan yang melibatkan 10 pengusaha daripada persatuan itu, berpotensi meraih hasil tuaian Kacip Fatimah basah antara 2,000 dan 5,000 kilogram bagi setiap hektar tanaman.

"Ini merupakan permulaan. Projek ini juga akan menyumbang kepada industri produk kesihatan tambahan tempatan kerana permintaannya dijamin melalui perjanjian belian balik daripada syarikat Bioalpha East Coast Agro Sdn Bhd pada harga sekitar RM20 sekilo.

Bagi setiap hektar tanaman yang diusahakan, mereka mampu menjana pendapatan sekitar RM98,800 untuk sekali tuaian yang mengambil masa sembilan bulan sebelum ia dituai," katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan Projek Inovasi Sosial MOSTI (MSI) bagi BCDP untuk projek penanaman herba berkenaan di Sagil.


Sumber : BERNAMA