Wednesday, October 16, 2019
updated 3:08 PM UTC, Oct 16, 2019

AS, China bertanggungjawab kepada global untuk tamatkan pertikaian perdagangan - Tan Sri Muhyiddin

  • Published in Ekonomi
Foto KDN

WASHINGTON DC – Malaysia percaya Amerika Syarikat (AS) dan China bertanggungjawab kepada global untuk mencari penyelesaian secara baik berhubung perang perdagangan mereka.

Berucap pada forum di Washington DC, Menteri Dalam Negeri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil perhatian bahawa semua ekonomi adalah sebahagian daripada ekosistem ekonomi global.

Perlu ingat, katanya bahawa adalah sewajarnya bagi AS dan China untuk mula memberi pertimbangan bukan sahaja terhadap kepentingan mereka sendiri, tetapi juga kepentingan semua negara lain dalam mencari jalan untuk menamatkan perang perdagangan.

“Hanya dengan menjadi berhemah dan bertimbang rasa terhadap kepentingan semua negara akan membawa kemakmuran kepada global dan dapat dikongsi semua," katanya.

Muhyiddin, yang sedang dalam rangka lawatan kerja di AS, berucap pada Forum Kepimpinan Banyan, bertema hubungan ekonomi, politik dan strategik AS-Malaysia, di Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa di ibu negara AS ini pada Isnin.

Muhyiddin berkata tatkala dua ekonomi terbesar dunia itu makmur sebahagian besarnya disumbangkan oleh perdagangan mereka dengan negara membangun, sebarang pengurangan jumlah dagangan ekonomi membangun berkenaan akibat daripada perang perdagangan yang sedang berlaku akan turut memberi kesan buruk terhadap ekonomi kedua-dua negara.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata Malaysia melihat perang perdagangan antara AS dan China dengan kebimbangan serius kerana ia mendedahkan ekonomi negara kepada masalah daripada ketegangan perdagangan itu.

Keadaan itu, katanya, juga mewujudkan ketidaktentuan yang telah menyebabkan peralihan dalam rantaian bekalan global dan peningkatan perlindungan.

"Ketidaktentuan itu akan memberi kesan meluas kepada perdagangan dunia untuk tahun-tahun akan datang, dan tentu saja mengancam kemakmuran global," katanya memberi peringatan, dan menurutnya ekonomi membangun yang banyak bergantung kepada perdagangan dengan kedua-dua negara untuk memacu pertumbuhan domestik akan terjejas teruk oleh konflik yang berlaku.

Muhyiddin tiba di sini pada Ahad untuk lawatan kerja peringkat pertama yang bertujuan memperkukuhkan hubungan Kuala Lumpur-Washington dalam bidang keselamatan. Kunjungan itu turut termasuk melawat New York.

Menteri itu juga bercakap tentang keperluan untuk menjaga keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara, prasyarat penting bagi meningkatkan kemakmuran serantau dan global.

Dalam konteks itu, Muhyiddin berkata beliau ingin membayangkan Malaysia sebagai negara pelopor dengan peranan utamanya untuk merapatkan lagi hubungan kawasan Pasifik dan Lautan Hindi.

Peranan lain, katanya, juga mengenai menjalin kerjasama dengan negara di kedua-dua kawasan untuk memacu pertumbuhan ekonomi domestik, serantau dan global, dan mengikat negara-negara itu menerusi institusi yang menggalakkan keselamatan bersama, kemakmuran bersama dan identiti bersama.

"Ketiga-tiga pelopor itu penting untuk memainkan peranan dalam merapatkan hubungan, membina dan mengikat kedua-dua kawasan laut yang memerlukan Malaysia untuk mengusahakan inisiatif dan mengukuhkan kerjasama yang tulen dengan pelbagai negara termasuk AS," katanya.

Muhyiddin juga menggariskan kepercayaan Malaysia bahawa jika semua negara berusaha mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan global dengan saling menghormati kedaulatan dan kebebasan masing-masing, semua negara akan menuai hasil daripada kemakmuran global.

Beliau menegaskan bahawa untuk keamanan dan keamanan global dikekalkan, kepentingan memelihara keselamatan satu sama lain mesti dikongsi oleh semua negara.

"Kita perlu mencapai persetujuan bahawa keselamatan anda juga keselamatan saya. Hanya apabila semua negara komited untuk mengekalkan keselamatan bersama, keamanan dan kemakmuran global akan terserlah," kata Muhyiddin.

Beliau turut mengingatkan bahawa apabila negara-negara memilih untuk mengejar kepentingan mereka sendiri dan terjebak dalam permainan untuk mengaut keuntungan semata-mata yang akan mengancam keselamatan masing-masing, seluruh dunia akan runtuh.

"Dan kita semua akan menderita daripada ketidaktentuan global, kemiskinan dan kurang kebebasan. Ini pastinya bukan matlamat kita, " katanya.

((Bernama))