Saturday, April 4, 2020

updated 11:45 AM UTC, Apr 4, 2020

Sistem wakaf mampu jadi sumber ekonomi ketiga negara

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA, 20 Feb - Sistem kutipan wakaf mampu menjadi sumber ekonomi ketiga negara.

Buktinya, Projek Pembinaan Surau Ibnu Sina dan Anjung Kasih di Hospital Putrajaya menjadi projek pertama yang berjaya dilaksana melalui sistem tersebut.

Projek lebih RM7 juta itu menjadi projek agensi kerajaan pertama yang diluluskan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), tanpa menggunakan sebarang peruntukan daripada kerajaan.

Hasrat Hospital Putrajaya untuk memfokuskan keselesaan kepada pelanggannya sentiasa dalam perancangan.

Disebabkan dana yang terhad, inisiatif pengumpulan dana melalui kaedah wakaf telah dimulakan pada 2017.

Sehingga kini lebih enam juta ringgit dapat dikumpul melalui sumbangan orang ramai serta badan korporat dan akhirnya projek ini dapat direalisasikan.

Pembinaan surau tersebut bakal memuatkan sehingga seribu orang Jemaah pada satu-satu masa dan boleh diguna sama oleh jabatan-jabatan di sekitar Hospital Putrajaya untuk solat Jumaat.

Bagi pembinaan Anjung Kasih iaitu rumah penginapan sementara untuk waris pesakit, ia mampu memuatkan 100 buah katil bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.

Pembinaan akan bermula awal tahun depan dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2022.

Projek pembangunan berasaskan wakaf tersebut mampu mewujudkan kebersamaan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan semata-mata.