Saturday, April 4, 2020

updated 12:21 PM UTC, Apr 4, 2020

Pasar Nelayan terbukti berjaya tingkat taraf hidup golongan nelayan

  • Published in Ekonomi

PENGKALAN CHEPA, 19 Feb - Langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mewujudkan Pasar Nelayan terbukti berjaya meningkatkan taraf hidup golongan nelayan.

Program itu merupakan strategi serampang dua mata yang turut memberi manfaat kepada pengguna untuk mendapatkan bahan makanan segar dengan harga berpatutan.

Pasar Nelayan; pendekatan bersepadu dalam memendekkan rantaian pemasaran hasil nelayan dan melepaskan golongan itu dari cengkaman orang tengah dengan memasarkan sendiri hasil tangkapan secara terus kepada pengguna.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata manfaatnya golongan nelayan memperoleh margin keuntungan lebih baik dan berupaya mengubah kehidupan mereka daripada golongan berpendapatan rendah B40 kepada berpendapatan pertengahan M40.

Sehingga kini, 132 Pasar Nelayan sudah dibina di seluruh negara dengan anggaran kos pembinaan RM200 ribu setiap satu.

178 nelayan dan 160 anggota keluarga nelayan terlibat.

Manakala selebihnya adalah persatuan nelayan.

Sepanjang tahun lalu Pasar Nelayan telah mencatat nilai urus niaga berjumlah kira-kira RM49.1 juta.

Rata-rata pembeli mengatakan mereka sanggup datang dari jauh semata-mata ingin mendapatkan pelbagai ikan dan sumber laut segar serta berkualiti dengan harga berpatutan.

Ruang niaga yang tersusun dan selesa dilengkapi kemudahan jeti pendaratan, tandas awam, surau serta parkir yang luas turut menjadi faktor mereka berkunjung ke pasar berkenaan.

LKIM turut merancang untuk menambah fungsi Pasar Nelayan dengan menganjurkan pasar mingguan, aktiviti berkaitan agro-pelancongan, membuka medan selera serta pusat jualan minyak diesel dan petrol untuk bot nelayan.

Jumlah Pasar Nelayan juga akan ditambah dengan sasaran 200 buah menjelang akhir tahun ini.

Pembinaan Pasar Nelayan secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat.