Friday, December 13, 2019
updated 2:26 PM UTC, Dec 13, 2019

Jack Ma bersara sebagai Pengerusi Alibaba

  • Published in Ekonomi
Foto AFP

HANGZHOU - Pengerusi Alibaba, Jack Ma secara rasmi bersara dan menyerahkan jawatan itu kepada Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Zhang.

Ma akan terus berkhidmat sebagai ahli lembaga Alibaba sehingga mesyuarat pemegang saham agung tahunannya diadakan tahun depan.

Pada September tahun lalu, Ma mengumumkan beliau akan berundur daripada gergasi e-dagang China itu untuk menumpukan masa untuk kerja kebajikan yang fokus kepada pendidikan.

Beliau juga kekal sebagai rakan seumur hidup Alibaba Partnership.

Ma adalah seorang guru bahasa Inggeris sebelum ini dan sehingga kini sering dipanggil dengan nama gelaran ‘Teacher Ma’.

Sejak diasaskan pada 1999, Alibaba mengalami evolusi daripada syarikat e-dagang kepada konglomerat yang memiliki perniagaan merangkumi logistik dan perkomputeran.

Syarikat berkenaan mempunyai nilai lebih AS460 bilion dolar pada hari ini.