Monday, August 21, 2017
vital-top
updated 4:33 AM UTC, Aug 21, 2017

Usahawan Langkawi Sudah Mula Langkah Terokai Ekonomi Geopark

LANGKAWI - Pemahaman komuniti setempat Langkawi tentang konsep geopark sudah mencapai satu tahap yang boleh membuka jalan kepada kelahiran usahawan-usahawan geopark di pulau peranginan ini.

Penasihat Global Geopark Langkawi, Prof Emeritus Datuk Ibrahim Komoo berkata tahap pemahaman ini menandakan konsep ini sudah melepasi gelombang kedua pelaksanaannya.

Beliau ditemui selepas majlis pecah tanah projek Galeri Geopark Telaga Walk.

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Mohd Ekhwan Toriman mewakili Naib Canselor UKM, Prof Datuk Seri Noor Azlan Ghazali  menyempurnakan majlis itu bersama-sama pemaju projek, Pengarah GA Properties & Development Sdn Bhd., Azman Ahmad.

Pembangunan Galeri Geopark Telaga Walk yang terletak di Jalan Pantai Chenang merupakan usaha pertama oleh seorang usahawan kelahiran Langkawi untuk memulakan aktiviti ekonomi berteraskan konsep geopark.

Langkawi telah diisytiharkan sebagai sebuah Global Geopark oleh Global Geopark Network pada tahun 2007 dan menjadi lokasi pertama untuk memperolehi status itu di Asia Tenggara ketika itu.

Status yang berkuat kuasa selama empat tahun itu diperbaharui pada 2011 dan dikekalkan lagi pada tahun 2015, kali ini dikenali sebagai Geopark Global Langkawi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO Global Geopark Langkawi).





Sumber : BERNAMA