Tuesday, June 19, 2018
vital-top
updated 8:05 AM UTC, Jun 19, 2018

Pasaran Akan Stabil Jika Dasar Jelas

  • Published in Ekonomi

 

 


KUALA LUMPUR -  Banyak faktor yang mempengaruhi pasaran, namun aliran keluar dana dalam ekuiti baru-baru ini, menimbulkan kebimbangan ramai pihak.
 
Penganalisis bagaimanapun berpendapat keadaan ini akan beransur-ansur stabil sebaik sahaja dasar-dasar kerajaan kukuh.

Dana asing dilaporkan membawa keluar sebanyak RM2.48 bilion daripada ekuiti tempatan minggu lepas, sebagai reaksi balas terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang diluar jangka, selain ketidaktentuan pasaran secara berterusan minggu lepas berikutan perkembangan dan pendedahan angka mengejutkan termasuk hutang negara.

Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pasaran akan terus tidak menentu, sekurang-kurangnya dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan baharu, dengan penggiat pasaran menunggu lebih banyak pengumuman dasar.

Beliau berkata pasaran akan normal apabila 'keadaan kembali tenang'.

Ketika bercakap kepada BERNAMA, beliau berkata banyak faktor yang mempengaruhi pasaran.
 
Kebimbangan baharu terhadap geopolitik di Korea Utara, serta Timur Tengah menyebabkan peserta pasaran enggan membeli banyak dan memilih untuk memegang lebih banyak instrumen seperti wang tunai bagi mengelak risiko yang semakin besar.

Pada masa yang sama, kebimbangan terhadap kedudukan hutang kerajaan seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) menyebabkan pasaran menjadi lebih berhati-hati, namun jaminan oleh kementerian untuk melaksanakan kewajipan melunaskan hutangnya, dapat mengurangkan kebimbangan.
 
((BERNAMA))