Wednesday, April 8, 2020

updated 11:58 AM UTC, Apr 8, 2020

PTPTN umum 4 peratus dividen bagi tahun 2019, beri manfaat kepada 4.39 juta pendeposit

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 6 Feb - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak 4 peratus untuk dua Skim Simpanan Pendidikan Nasional 2019 iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pemberian dividen berkenaan membabitkan anggaran peruntukan RM147.25 juta dan akan memanfaatkan 4.39 juta pendeposit PTPTN.

Menurut beliau menerusi laman facebooknya, PTPTN telah mencatat dua rekod baharu menerusi pengumuman tersebut.

Pertama, jumlah deposit SSPN meningkat sehingga RM1.37-bilion. Ia jumlah tertinggi dalam sejarah kutipan deposit SSPN, dan merupakan peningkatan sebanyak RM240 juta atau 21.24 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Rekod kedua adalah pihak PTPTN berjaya melonjakkan keuntungan SSPN kepada RM205.27 juta.

Ia peningkatan sebanyak RM41.73 juta atau 25.52 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau turut memaklumkan, kedua-dua rekod baharu itu adalah pencapaian tertinggi dalam sejarah wujudnya PTPTN yang diharap selari agenda kerajaan dalam mencapai kemakmuran yang dikongsi bersama.