Wednesday, September 18, 2019
updated 3:02 PM UTC, Sep 18, 2019

TEKUN Mart Mobile dilancar

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA - Membantu usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan pada masa sama menawarkan barangan yang murah kepada pengguna.

Inisiatif serampang dua mata Kementerian Pembangunan Usahawan menerusi TEKUN Mart Mobile itu menawarkan potongan harga barangan keperluan antara 10 hingga 15 peratus daripada harga pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan optimis inisiatif itu menggunakan konsep kedai bergerak itu mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

TEKUN Mart Mobile menawarkan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, ayam, daging, ikan dan barangan sejuk beku dengan lebih mudah.

Ia membuka peluang kepada usahawan untuk menjadi ejen pembekal, pengedar dan pemasaran.

Sebanyak 40 peratus daripada produk dijual dibekal usahawan tekun dan selebihnya produk-produk keperluan lain di pasaran.

Inisiatif itu juga mampu mengurangkan kos operasi perniagaan kerana tiada sewa premis dikenakan dan lokasinya bersifat fleksibel.

Buat permulaan, TEKUN Mart Mobile akan menggunakan dua unit lori bersaiz tiga tan dan satu unit bersaiz satu tan yang akan beroperasi di sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat dan pejabat kerajaan.

Datuk Seri Redzuan ditemui selepas melancarkan TEKUN Mart Mobile di Putrajaya.