Monday, August 26, 2019
updated 4:59 AM UTC, Aug 26, 2019

Perjanjian Perdagangan Malaysia-Turki perlu ditambah baik

  • Published in Ekonomi

FOTO - RTM

ISTANBUL, TURKI - Perjanjian perdagangan sedia ada antara Malaysia dengan Turki, perlu ditambah baik.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini kerana, nilai perdagangan kedua-dua negara ketika ini, masih belum mencapai tahap sepatutnya, meskipun perjanjian telah dimeterai sekian lama.

Tahun lepas, Malaysia dan Turki merekodkan nilai perdagangan berjumlah RM9.79 bilion.

Namun, masih wujud ketidakseimbangan pasaran, kerana eksport Malaysia mencecah RM7.97 bilion, manakala import dari Turki hanya RM1.82 bilion.

Justeru, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu Kuala Lumpur dan Ankara, mengenal pasti sepenuhnya potensi pasaran yang ditawarkan kedua-dua negara.

Dengan cara itu, nilai perdagangan dua hala, dapat dilonjakkan.

Berucap pada sesi rundingan meja bulat bersama Ketua-Ketua Pemain Industri Turki di Istanbul, Tun Dr. Mahathir turut mempelawa pemain industri Turki melabur di Malaysia, dalam sektor utama antaranya aeroangkasa, automotif, peralatan kejenteraan dan produk halal.

Ini kerana, kesemua sektor berkenaan sedang berkembang pesat dan Malaysia kini giat membangunkannya.

Antara yang hadir pada sesi tersebut adalah Menteri Industri dan Teknologi Turki - Mustafa Varank, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri - Datuk Darell Leiking, Menteri Luar - Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Pertahanan - Mohamad Sabu.