Thursday, August 22, 2019
updated 12:32 PM UTC, Aug 22, 2019

ANGKASA mahu Kedah dijadikan hub pengeluar jagung bijirin

  • Published in Ekonomi
Foto - FB ANGKASA

YAN- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bercadang menjadikan Kedah sebagai hub pengeluaran jagung bijirin selepas projek tanaman itu di Napoh dekat Jitra mengeluarkan hasil pada September ini.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata menerusi usahasama yang baik antara pihaknya dengan syarikat perladangan, Famox Plantation (M) Sdn. Bhd, projek itu diyakini mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bijirin bagi kegunaan makanan ternakan tempatan.

Katanya sehingga kini tanaman jagung di kawasan tanah seluas 83 hektar menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dan Angkasa akan memperluaskan tanaman itu di daerah-daerah lain dengan anggaran peruntukkan keseluruhan berjumlah RM1.7 juta.

Beliau kata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkasa negeri Kedah.

Datuk Abdul Fattah berkata sekiranya projek tersebut berjaya mencapai objektif yang disasarkan, Angkasa berhasrat mengembangkannya dengan penglibatan 12 buah koperasi di kawasan lain yang akan ditentukan kemudian.