Monday, July 22, 2019
updated 10:55 AM UTC, Jul 22, 2019

Beri Akses pembiayaan secara meluas kepada pembeli rumah pertama dan PKS

  • Published in Ekonomi

 

KUALA LUMPUR - Pihak bank perlu memberikan akses pembiayaan secara lebih meluas kepada pembeli rumah pertama dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memacu perkembangan ekonomi.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan menjelaskan, tahap kesihatan kewangan isi rumah sedang beransur pulih, yang mana kadar keberhutangan isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jatuh kepada 83.0 peratus pada 2018 daripada 83.8 peratus pada 2017.

Hasil perkembangan ini, pengguna kini katanya mempunyai ruang yang lebih besar untuk meminjam bagi tujuan mengumpul kekayaan, sama ada untuk skim simpanan atau pelaburan bukan bertujuan spekulasi, termasuk pemilikan aset jangka masa panjang.

Menurut statistik daripada Bank Negara Malaysia (BNM), kadar aset kewangan isi rumah ialah 2.1 kali hutang isi rumah.

Ini menunjukkan bahawa isi rumah secara purata memiliki lebih banyak aset daripada hutang, yang memberikan mereka penampan yang diperlukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan pembiayaan.

Sementara itu, Guan Eng menambah, kerajaan tekad memastikan harga barangan asas terkawal dan memandang berat peningkatan harga simen seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Kementerian Perniagaan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan kepada 19 pengeluar simen di seluruh negara untuk mendapatkan penjelasan punca kenaikan berkenaan.